“Sungguh menghairankan. Tidakkah Ashaab al-Kahf itu mengalami claustrophobia?” tanya seorang anak muda.
“Haha, menarik juga soalan anta. Tak pernah terlintas di fikiran ustaz,” saya membalas.
Claustrophobia itu didefinisikan sebagai ketakutan yang melampau oleh seseorang terhadap bilik atau ruang yang sempit, atau tertutup. Mereka yang mengalaminya akan mengalami keresahan, sesak nafas, menggeletar, kepala menjadi ringan dan seperti berpusing apabila berada di dalam ruang yang terhad seperti lif, bilik stor, malah kabin pesawat Boeing 747.
Pintu-pintu keluar akan segera dicari dan mereka sedaya upaya akan berusaha untuk berada hampir dengannya.
Tentu sahaja, jika seseorang sampai ke tahap ini, ia sudah dikategorikan sebagai masalah psikologi yang memerlukan kepada rawatan khusus.
Tetapi, untuk seseorang yang tidak mempunyai sejarah gejala claustrophobia sekali pun, duduk di dalam gua yang sempit dengan jumlah yang ramai bukanlah satu situasi yang selesa. Suasana yang gelap, pengudaraan yang tidak lancar seperti di lereng bukit atau padang yang indah, gua bukanlah tempat mencari damai.
ASHAAB AL-KAHF
Namun, sifir biasa itu tidak berlaku kepad Ashaab al-Kahf.
Mereka mengisytiharkan iman kepada Allah di tengah-tengah kekufuran massa, dunia yang indah dan luas terbentang menjadi sempit akibat tekanan memuncak yang dikenakan ke atas pemuda-pemuda yang beriman itu. Justeru, Allah Subhanahu wa Ta’aala menjemput anak muda itu melakukan hijrah yang luar biasa.
TINGGALKAN KESEMPITAN DUNIA, PERGILAH KEPADA KELUASAN GUA
Benar.
Tinggalkan dunia yang sempit itu dan pergilah ke gua yang lapang, yang aman dan mendamaikan.
Setelah segala jalan kebaikan tertutup dan kejahatan mengancam survival diri, Allah memerintahkan Ashaab al-Kahf beruzlah meninggalkan gelombang Kufur untuk menyelamatkan diri.
Firman-Nya:
“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu…” [al-Kahf 18: 16]
Gua itu bukan tempat kurungan.
Ia bukan sebuah kesempitan yang menjadikan Ashaab al-Kahf kehilangan segalanya daripada dunia yang pernah mereka miliki.
Ia bukan sebuah penjara.
ANDAI IA SEBUAH PENJARA
Malah jika ia sebuah penjara sekali pun, Yusuf ‘alayhi al-Salaam juga pernah dipenjara, sebelumnya pernah juga dibuang ke dalam telaga. Yunus ‘alayhi al-Salaam pernah berada 3 malam di dalam kegelapan di perut ikan! Musa ‘alayhi al-Salaam pernah hanyut di sungai dalam kotak kayu yang menampung diri. Malah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah berada di sebuah gua sempit bersama sahabatnya Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu dalam misi Hijrah ke Madinah.
Ironi sekali.
Di dalam penjara, telaga, gua, kotak kecil yang hanyut, malah di perut ikan, di situlah manusia-manusia hebat ini bertemu dengan ketenangan dan kebahagiaan. Mereka tidak resah berada di ruang yang sempit itu, sebaliknya di situlah mereka berasa dekat dengan Allah Subhanahu wa Ta’aala, tidak pernah menganggap yang ia suatu pengasingan atau pemencilan.
Apa rahsianya?
“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatNya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna“ [Al-Kahf 18: 16]
Segala kemudahan yang diberikan Allah dalam ruang serta peluang yang serba terhad itu, tersimpul di dalam sebuah kalimah yang amat besar ertinya.
RAHMAT ALLAH
Itulah yang dianugerahkan oleh Allah kepada Ashaab al-Kahf. Gua yang sempit itu menjadi luas apabila mereka dilimpahkan oleh Allah dengan Rahmat, yakni kasih sayang dan perhatian-Nya.
Bahagia atau derita, ia adalah bahasa hati.
Hati yang menentukan sama ada kita bahagia atau derita.
Tatkala hati manusia basah dengan limpahan Rahmat-Nya, ketika itulah diri menjadi manusia paling bahagia, biar pun tidak banyak yang ada di genggaman tangan.
PENGAJARAN BUAT MANUSIA KHUSUS
Pejuang, jalannya penuh mehnah.
Seruan mengajak manusia kepada mentaati Allah, menjauhkan manusia daripada taghut, adalah tanggungjawab yang besar di atas bahu manusia mukmin. Jalan itu menjanjikan bara api dan tempa yang memang menjadi Sunnatullah kerana hanya dengan ujian itu, terbit berlian yang indah dan bernilai tinggi.
Besarlah keperluan para da’ie, untuk hatinya kaya dengan kasih sayang Allah.
Tangannya mungkin tidak banyak menggenggam, tetapi itu bukan syarat untuk menjadi bahagia di kelana sementara ini. Segalanya ditentukan oleh hati. Hati yang beroleh limpahan Rahmat, atau sebaliknya.
Itulah rahsia pejuang Islam.
Tatkala Ibn Taimiyah diberitahu tentang perancangan penguasa untuk membuang beliau ke Iskandariah atau mungkin sahaja beliau dibunuh, Ibn Taimiyah berkata:
“Jika aku dibunuh, maka bagiku kurniaan syahadah. Andai mereka membuangku, maka ia bagiku adalah sebuah hijrah. Seandainya mereka menyingkirkan aku ke Cyprus, akan kuseru penduduknya kepada Allah dan mereka akan menyahut seruanku. Seandainya mereka memenjarakan aku, ia menjadi rumah ibadahku…”
Dicelup tidak basah.
Dibakar tidak hangus.
Ketika hati dilimpahi Rahmat-Nya.
sumber;abusaif@saifulislam
No comments:
Post a Comment